Tuesday, 29 May 2012

Radioaktif di Malaysia? Adakah ianya selamat?


Bismillahirrahmanirrahim~ In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful...

Sejak kebelakangan ini negara kita telah digemparkan dengan kewujudan industri pemprosesan nadir bumi yang boleh membahayakan masyarakat dan negara. Pelbagai tanda tanya telah menyelubungi masyarakat di negara ini mengenai tahap keselamatan mereka, keluarga dan anak-anak. Persoalannya adakah industri pemprosesan nadir bumi ini selamat? Kenapakah Malaysia menjadi lokasi bahan buangan tersebut diproses? Adakah ianya ada kaitan dengan isu politik yang sering dipermainkan pada hari ini?


Pada tahun 1992, penutupan industri pemprosesan nadir bumi di Bukit Merah telah dilakukan dan telah mengambil masa selama hampir 20 tahun dan telah menelan belanja RM300 juta. Hal ini berlaku kerana ia berkaitan dengan kes kematian sebanyak 7 kes dan juga disusuri dengan 8 kes leukemia. Kejadian ini telah mendatangkan kesan yang negatif kepada penduduk setempat yang terdedah kepada radiasi yang mendatangkan kemudaratan. Adakah kita sebagai masyarakat yang perihatin terhadap “hijau” menginginkan kejadian yang sama berulang semula terhadap saudara kita?

Pada pendapat saya, industri pemprosesan nadir yang sedang dibina di negara ini patut dihentikan kerana lokasi yang begitu hampir dengan kawasan kediaman orang ramai. Kerajaan Australia ada menetapkan bahawa had minima kawasan projek dengan kawasan penempatan penduduk adalah sejauh 35km. Akan tetapi, apa yang telah berlaku dinegara kita adalah jarak diantara tapak pemprosesan bahan nadir dengan kawawan penempatan hanyalah 2km sahaja. Mengambil pengajaran apa yang telah berlaku kepada Fukushima, seluas 40km keluasan evakuasi akan terlibat jika berlakunya kebocoran sisa radioaktif iaitu melibatkan keseluruhan penduduk dari Gambang, Kuantan, Cherating malah Kemaman di Terengganu.  Sebagai contoh, kebocoran bahan asid, kimia di Baotou telah mengalami kemusnahan hasil pertanian dan kesihatan seperti kematian disebabkan kanser walaupun lokasi penyimpanan sisa buangan radioaktif itu adalah terletak sejauh 10km.

Selain daripada itu, peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh kilang pemprosesan tersebut hanyalah sebanyak 350 orang sahaja. Adakah ini akan membantu masyarakat dikawasan tersebut meningkatkan taraf ekonomi mereka? Bahkan negara kita memberikan pengecualian cukai selama 12 tahun terhadap syarikat yang menghasilkan sisa buangan radioaktif ini. Persoalannya mengapakah hal ini terjadi? Bukankah industri tersebut dapat mendatangkan keuntungan yang tinggi kepada negara ini?


Masalah yang perlu diberikan perhatian adalah pemprosesan rare earth tersebut akan menghasilkan bertan-tan thorium sebagai bahan buangan pada setiap tahun. Bahan merbahaya tersebut terpaksa disimpan di negara ini kerana pihak Australia tidak mahu bahan tersebut dihantar semula. Kebocoran Thorium ini sangat merbahaya kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti leukemia  dan lain-lain lagi. Manusia boleh dijangkiti atau terdedah dengan Thorium melalui sedutan udara, makanan dan air. Thorium yang dihidu atau disedut melalui udara akan kekal untuk jangka masa yang lama pada salur pernafasan. Thorium yang masuk ke salur darah akan juga tinggal di tulang pada jangka masa yang lama dan menyebabkan Risiko Kanser di tekak, tulang dan pancreas.

Sebagai kesimpulan, kita seharusnya berganding bahu supaya keselamatan, kesihatan, dan keselesaan dapat dkekalkan sehingga ke hujung hayat. Jangan biarkan manusia yang rakus dengan keuntungan membinasakan kita semua. Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga. Hanya dengan adanya industri pemprosesan nadir bumi, nyawa anak cucu menjadi ancaman.






No comments:

Post a Comment