Wednesday 13 June 2012

Teknologi maklumat mendatangkan faedah atau sebaliknya?


Pada alaf 21 ini, perubahan dan kemajuan teknologi telah membawa pelbagai manfaat yang berguna kepada masyarakat dan Negara. Kemudahan internet dan teknologi ini telah membawa kemajuan kepada Negara dalam berkongsi maklumat serta kemajuan teknologi dengan Negara lain. Sebagaimana yang kita ketahui, negara Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri dari berbilang kaum dan agama. Oleh itu, menjaga kepentingan semua pihak tidak mengira agama, etnik mahupun bangsa amat penting demi menjaga isu-isu sensitif dalam menyampaikan sesuatu berita.

Pada masa kini kita dapat lihat bahawa pembaca lebih menggemari pembacaan melalui internet seperti Utusan Online, blog dan pelbagai sumber maklumat hanya di hujung jari sahaja. Kewartawanan di atas talian juga pada hakikatnya lebih sensasi dan terkini. Kita dapat mengikuti perkembangan semasa dengan cepat hanya dengan menggunakan kemudahan teknologi sahaja. Masyarakat pada masa kini juga telah banyak mengadaptasikan penggunaan internet di merata tempat tanpa mengira masa tempat dan juga keadaan. Ini kerana, kebanyakan telefon bimbit pada masa kini telah dilengkapi dengan kemudahan untuk melayari internet mengikut kepentingan individu tersebut.



Akan tetapi terdapat beberapa masalah yang sering timbul apabila media di Malaysia mengklasifikasikan atau mengasingkan jika seseorang itu cuba untuk menyuarakan sesuatu pendapat ataupun pandangan yang berlainan melalui blog ataupun pelbagai jenis media yang lain. Dimanakah hak kebebasan untuk penulisan? Bukankah negara kita ini berdasarkan demokrasi? Kita seharusnya diberikan hak kebebasan dalam penulisan supaya semua golongan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan agama dapat mengetahui tentang realiti dan membolehkan kita semua menyuarakan pendapat sendiri dan menulis tanpa perasaan takut akan pihak berkuasa. Ini akan menyebabkan penipuan dan penuh dengan kepura-puraan didalam sesuatu penulisan. Ini sangat bercanggah kerana pada pendapat saya, untuk menghasilkan satu penulisan yang terbaik haruslah bersikap jujur. Banyak kelebihan yang kita akan perolehi jika hak kebebasan bersuara ini dapat dipraktikkan di negara Malaysia kerana orang ramai dapat mengeluarkan pendapat yang jujur dan ikhlas lantas memberikan kesan yang baik kepada negara kita kerana apa yang penting ialah sebagai seorang penulis haruslah dapat memberikan kesan yang positif kepada pembaca.

Media atas talian ini selalunya menyuarakan secara bebas di dalam penulisan mereka. Berfikir sejenak mengenai hak kebebasan bersuara di Malaysia, apakah yang akan terjadi jika kebebasan menulis ? Pada pendapat saya, terdapat banyak kelebihan yang kita bakal perolehi jika kita mempraktikkan didalam kehidupan seharian. Jika hanya terdapatnya kelebihan ataupun kebaikan sahaja tanpa keburukan dan kesan negatif, maka dunia ini akan menjadi tiada cabaran dan masyarakat akan hanya akan mengikut dan percaya akan sesuatu tanpa berfikir secara rasional terlebih dahulu. Kelebihan yang kita boleh perolehi ialah penulis akan menulis sesuatu dengan jujur serta ikhlas.

Tahun demi tahun telah berlalu, saya telah memerhatikan bagaimanakah penulisan di negara kita ini berlaku, sesetengahnya akan memberikan kesan yang baik, manakala sesetengahnya pula akan membawa serta memberikan kesan yang buruk. Inilah yang membuatkan penulisan atas talian tidak boleh dipercayai seratus peratus. Kadangkala kita dapat melihat percanggahan penulisan di dalam isi  yang diketengahkan daripada penulisan atas talian dengan penulisan arus perdana adalah berlainan. Akan tetapi, jika kita berfikir kembali, manusia akan membuat kesilapan dan pada saya, setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Penulisan telah berkembang sejak berkurun lamanya. Sebagai contoh, kita menulis tentang sesuatu yang menyokong parti politik dan penulisan tersebut boleh mempengaruhi orang ramai sepertimana Tunku Abdul Rahman dan masyarakat hanya bergantung dengan surat khabar untuk mengetahui sesuatu informasi apakah yang berlaku kepada tanah air pada suatu ketika dahulu. Sama seperti sekarang, masyarakat masih lagi bergantung pada satu konsep yang sama tetapi berbeza dengan situasi yang lepas kerana pada masa sekarang ini kita adalah sebuah negara yang merdeka dan mempunyai teknologi yang canggih sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat serta informasi yang terkini.

Sebagai kesimpulan, pada pendapat saya media atas talian dan media arus perdana  haruslah berpegang teguh terhadap pendirian mereka kerana penulis mempunyai kuasa untuk menyelamatkan dunia kewartawanan Malaysia. Dilema untuk menyiarkan kebenaran adalah faktor yang menjadi igauan setiap penulis. Setiap isi yang ditulis akan mempunyai kesan yang dapat dilihat dalam masyarakat jika di salah tafsir. Terpulang kepada penulis tersebut untuk memainkan watak yang berkesan dalam setiap berita yang ditulis. Diharap penulisan di Malaysia mempunyai sifat yang lutsinar bagai cermin dalam menerima pandangan umum tanpa mengambil kira perasaan berat sebelah mereka. 

No comments:

Post a Comment