Tuesday 29 May 2012

Isu pengguna. Adakah halal atau haram?


Bismillahirrahmanirrahim~ In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful...

Pada hari ini kita dapat lihat umat islam kurang prihatin soal halal dan haram dalam aspek pemakananan. Penggunaan label halal yang sering kali mengelirukan umat islam di negara ini acap kali menjadi bahan perbualan. Keadaan ini berlaku kerana umat islam Malaysia tidak mampu menyediakan kemudahan yang cukup dan bergantung kepada Non-Muslim untuk menyediakan kemudahan seperti memproses makanan, bahan makanan sehinggalah kedai makan.Telah menjadi trend masyarakat pada masa kini yang gemar mengunjungi restoran kopitiam yang kadangkala mengelirukan sama ada label halal itu benar-benar tulen mahupun palsu. Dimanakah tahap kesedaran kita mengenai isu ini? Siapakah yang patut dipersalahkan? Dimanakah hak kita sebagai pengguna?

Penggantungan ayat-ayat suci Al-Quran di dinding atau dalam premis perniagaan restoran bagi membuktikan bahawa mereka sudah mematuhi standard halal yang tidak perlu diragukan lagi telah mengaburi mata masyarakat di negara ini. Perkara ini telah berlarutan sejak bertahun lamanya tanpa kita sedari. Ada juga restoran bukan Islam yang meletakkan poster ayat Al-Quran atau menggunakan pekerja Islam untuk menunjukkan bahawa makanan yang disediakan di restoran itu, halal. Namun begitu, sesetengah pengguna Islam yang masih terus mengunjungi restoran bukan Islam yang tidak mempunyai sijil halal atau membeli makanan daripada penjaja kecil bukan Islam terutama di pasar-pasar malam. Hal ini boleh mendatangkan kemusykilan kepada status makanan tersebut.


Pada hari ini, untuk pengetahuan umum, sebahagian besar daripada pengeluar atau pengedar produk termasuk makanan, terdiri daripada orang bukan Islam. Kebanyakkan peniaga atau pengilang menggunakan label halal sendiri atau sijil halal yang tidak diiktiraf dan hanya meletakkan label halal sekadar untuk melariskan produk demi untuk mementingkan dan memikirkan keuntungan sahaja. Golongan itu sama sama sekali tidak mengambil berat tentang kepentingan produk halal bagi orang Islam. Ada di antara mereka juga, tidak begitu menitikberatkan proses pengeluaran yang menepati keperluan hukum Syarak.

Pada hakikatna, kesahihan label halal sebenarnya hanya boleh dipastikan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri yang diberi mandat untuk menyiasat sama ada ia tulen atau palsu. Selain itu, penyebaran maklumat berkaitan persijilan, pelabelan dan piawaian halal wajar diperluaskan melalui media massa secara besar-besaran kerana boleh menjadi panduan kepada semua pihak, terutama kepada pengguna Islam. Dengan demikian, hasrat Kerajaan Malaysia untuk menerajui hab halal utama dunia dan menjadi pelopor dalam industri berkenaan, mampu direalisasikan.

Kemajuan dunia maklumat dan teknologi sebenarnya sangat membantu masyarakat islam pada hari ini untuk mengetahui status sesuatu produk. Kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memeriksa status halal atau haram sesuatu produk itu kini hanya boleh dilakukan hanya dengan menggunakan kemudahan semakan online dan sms (sistem pesanan ringkas). Semakan itu merangkumi semakan status halal produk, premis dan rumah sembelihan yang mendapat sijil Halal Malaysia. Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak status halal ialah taip halal (nombor kod bar) dan hantar kepada 32728. Selain daripada itu, Jakim umpamanya mempunyai Portal Halal Malaysia www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia. Ia menyediakan kemudahan carian halal berdasarkan kod bar, deskripsi produk dan nama syarikat yang telah mendapat sijil halal Malaysia. Memandangkan isu halal ialah isu penting khususnya bagi yang beragama Islam, wajar bagi mereka mendapat maklumat yang betul mengenai kehalalan sesuatu produk baik untuk dimakan, diminum atau digunakan.


Keadaan ini berpunca daripada penguasaan produk halal tempatan yang dikeluarkan oleh syarikat bukan Islam dalam semua hal berkaitan pemakanan. Harapan orang ramai agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera supaya tidak terus menjadi mangsa pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan sensitiviti halal dalam aspek penyediaan makanan mahupun barangan lain.

Justeru itu masyarakat di negara ini kita tidak perlu khuatir mengenai status sesuatu produk tersebut. Dalam apa jua keadaan, kita sebagai pengguna Islam hendaklah hendaklah tidak bersikap sambil lewa dalam menangani isu halal. Pengguna Islam, perlu selalu berwaspada serta memastikan setiap makanan atau produk yang dibeli atau restoran yang dikunjungi mempunyai logo halal yang kini sudah diseragamkan dan dikeluarkan oleh Jakim.

No comments:

Post a Comment